PASIR PUTEH: Cubaan menyeludup masuk 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan tidak diwartakan di sekitar Sungai Tumpat, Kelantan, berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan baru-baru ini.
Kesemua PATI terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang dikesan ketika sebuah bot laju dipercayai cuba merapat ke tebing sungai untuk menurunkan mereka di kawasan Kampung Kelong, Tumpat.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, pengesanan awal dilakukan Tim Operasi Darat 1 kira-kira jam 6.15 petang apabila melihat sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Tumpat sebelum bergerak menyusuri Sungai Tumpat.
Menurutnya, susulan itu, Bot Maritim bersama Tim Operasi Darat 2 digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan.
Kira-kira jam 6.30 petang, Tim Operasi Darat 2 mengesan bot berkenaan dipercayai cuba merapat ke tebing sungai untuk menurunkan PATI di kawasan Kampung Kelong.
Bagaimanapun, bot laju terbabit berjaya meloloskan diri melalui laluan tidak diwartakan serta kawasan sungai cetek sebelum Bot Maritim tiba di lokasi kira-kira jam 6.40 petang.
Kamal berkata, penahanan 12 PATI itu hasil pelaksanaan operasi bersepadu menerusi OP NAGA, OP DAMAI, OP PELANTAR MERAH dan OP TIRIS dengan penglibatan aset Bot Maritim serta Tim Operasi Darat.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko bagi membanteras penyeludupan migran serta pencerobohan melalui laluan perairan negara.
Usaha itu juga bagi memastikan keselamatan sempadan maritim negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan.-DRP
