OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang Guru Besar sebuah sekolah rendah di Semporna didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatannya itu untuk mendapatkan suapan bagi kerja-kerja pembekalan makanan prasekolah dengan nilai keseluruhan RM7,330, dua tahun lalu.
Tertuduh Mohd Hussin Mosten, 58, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi oleh jurubahasa Mahkamah.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Hussin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Guru Besar DG10 untuk meluluskan dua Pesanan Kerajaan, masing-masing No. CKK B 305541 berjumlah RM3,826 pada 8 Mac 2024 dan No. CKK B 305546 berjumlah RM3,504 pada 18 April 2024.
Kedua-dua pesanan itu membabitkan perkhidmatan pembekalan bahan mentah dan kering bagi prasekolah sebuah sekolah rendah di Semporna kepada Syarikat Syami Enterprise, sedangkan kerja pembekalan berkenaan dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.
Kedua-dua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari 2027 bagi tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan serta permohonan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Syarat tambahan itu ialah passport tertuduh diserah kepada mahkamah, tertuduh dikehendaki melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-DRP
