TAWAU: Plaintif terakhir yang juga saksi ke-15 dalam kes saman sivil RM190 juta membabitkan dirinya bersama enam yang lain mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu, bahawa pemangkuan pangkat Sarjan Mejar yang disandangnya dilucutkan akibat pendakwaan terhadapnya dalam kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dinafikan terbabit.
Anggota polis berpangkat Sarjan, Khairul Azman Bakar, 50, tidak bersetuju dengan cadangan Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Zetty Zurina Kamarudin, bahawa PDRM tidak pernah mengeluarkan surat yang menyatakan pemangkuannya dilucutkan kerana pembabitan dalam kes pembunuhan berkenaan.
Ketika diminta mengemukakan bukti dokumen berhubung perkara itu, beliau mengakui secara umumnya tidak ada bukti namun berkata, pelucutan pemangkuan yang diterimanya pada 2022 diwartakan melalui arahan penempatan dan pertukaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berhubung tangkapan pada 25 Januari 2023, kira-kira jam 5 petang di bilik mesyuarat ESSCOM, Lahad Datu, beliau bersetuju ditahan oleh pasukan polis Bukit Aman yang diketuai Datuk Hussein Omar Khan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan dirinya dan yang lain ketika itu bukan sedang bekerja, sebaliknya hadir secara sukarela selepas dimaklumkan akan diberikan taklimat oleh pihak Bukit Aman.
Beliau yang sudah 26 tahun berkhidmat dalam PDRM menolak cadangan SFC bahawa pegawai penangkap mempunyai sebab munasabah untuk menahannya dan tuntutannya berhubung penangkapan salah tidak berasas.
Berhubung alibi, Khairul Azman bersetuju tidak pernah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bebas daripada premis komersial pihak ketiga atau memanggil pihak berkaitan melalui sepina rasmi sebelum dikemukakan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, ketika perbicaraan kes bunuh, pihak pendakwaan memperlihat gambar atau rakaman CCTV yang menunjukkan beliau berada di Maybank Lahad Datu pada jam 8.42 malam, 13 Januari 2023, bagi melakukan transaksi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Beliau menolak cadangan bahawa defendan sudah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan dokumen alibinya dan memutuskan alibi itu tidak relevan untuk membuktikan keberadaannya ketika pembunuhan pada 13 Januari 2023.
Apabila Zetty merujuk dokumen yang mencatatkan tahan kerja dan pelucutan pemangkuan berkuat kuasa 17 Februari 2023 serta arahan melapor dengan pangkat hakiki, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Beliau menjelaskan arahan penempatan dan pertukaran berkenaan dikeluarkan pada 13 April 2023, bukannya 17 Februari 2023.
Khairul Azman turut menolak cadangan bahawa apabila seseorang pegawai polis dituduh atas kesalahan jenayah yang membawa hukuman mati, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengeluarkan perintah tahan kerja atau penggantungan tugas.
Berkaitan cadangan bahawa beliau boleh memfailkan prosiding mahkamah bagi membantah pertukaran itu tetapi tidak berbuat demikian.
Beliau menjelaskan perkara berkenaan tidak diketahui berikutan berada dalam penjara tanpa menerima makluman daripada mana-mana pihak, khususnya PDRM.
Berkenaan tuntutan samannya sebanyak RM20 juta, beliau mengakui tidak mengemukakan dokumen sebagai pembuktian tuntutannya terhadap defendan.
Namun, katanya, pengalaman menghadapi pertuduhan bunuh mengakibatkan kerugian, penghinaan, rasa malu, tekanan emosi dan menjejaskan reputasi kerjayanya, termasuk terpaksa menanggung perbelanjaan guaman serta hutang.
Beliau tidak bersetuju dengan cadangan SFC bahawa defendan-defendan bertindak adil dan tidak pernah berpakat untuk menuduh atau melindungi pelaku sebenar.
Ketika pemeriksaan semula, Khairul Azman menjelaskan bahawa kesemua defendan tidak sepanjang masa bertindak secara adil.
“Siasatan terhadap kes pembunuhan ini tidak telus dan jujur yang mana terdapat unsur-unsur salah laku atau prosedur operasi standard (SOP) yang salah dalam tempoh siasatan.
“Siasatan yang dijalankan tidak boleh melakukan sebarang tawaran, ugutan, paksaan dan sentuhan fizikal terhadap orang kena tuduh (OKT) yang mana ini menyalahi tatacara SOP dalam soal siasat,” katanya ketika diminta oleh peguamnya, Kamarudin Mohmad Chinki bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos kemudian melepaskan Khairul Azman sebagai saksi plaintif terakhir.
Perbicaraan pihak defendan dijadualkan pada 7 hingga 10 Disember depan.-DRP
