SHENZHEN: Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk juruterbang dan pegawai berpangkat Leftenan serta Kapten, didedahkan terbabit dalam kes penyeludupan dadah berskala besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu amat membimbangkan kerana ia membabitkan anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap semua individu yang terbabit tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Beliau berkata, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
“Saya menyatakan perkara ini pada sidang media ini kerana tidak mahu mana-mana pihak beranggapan bahawa kita sengaja melengah-lengahkan tindakan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Anwar berkata, beliau sudah membincangkan perkara itu bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, semua pihak bersetuju bahawa tiada kompromi dalam tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit.
“Bagaimana kita boleh mengharapkan negara ini selamat jika kita membiarkan perkara ini berlaku?
“Ini membabitkan pasukan keselamatan. Ibarat harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya dikompromi semata-mata untuk menjaga imej mana-mana jabatan atau agensi.
Sebaliknya, katanya, pihak polis perlu diberikan ruang untuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah dan penyalahgunaan sistem kewangan.
Katanya, lebih 100 individu ditahan mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala aset bernilai berbilion ringgit turut disita atau dibekukan.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam membanteras kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah berkaitan.
“Negara tidak boleh membiarkan salah laku seperti ini berterusan, sama ada ia membabitkan golongan di peringkat tertinggi, penjawat awam mahupun anggota penguat kuasa,” katanya.-DRP
