TAWAU: Pembinaan saluran paip bawah tanah dari Empangan Cinta Mata ke Pulau Sebatik dicadangkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih yang terus berulang di pulau berkenaan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, cadangan itu wajar dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan sebagai usaha memastikan penduduk Pulau Sebatik mendapat bekalan air yang lebih stabil dan berterusan.
Menurutnya, penduduk tidak sepatutnya terus berdepan masalah sama setiap kali musim kemarau, sedangkan kaedah pengagihan air dari rumah ke rumah hanya mampu menjadi langkah sementara.
Katanya, keadaan paras air di Empangan Wallace Bay ketika ini masih sederhana dan belum mencukupi, walaupun kawasan bandar Tawau serta tanah besar menerima hujan.
“Setiap dua tahun pasti berlaku kemarau dan kita tidak mahu keadaan ini terus berulang pada masa akan datang sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada pengagihan air dari rumah ke rumah yang sangat membebankan serta menyusahkan.
“Justeru, kita mencadangkan satu saluran paip bawah tanah dari Empangan Cinta Mata disalurkan ke Pulau Sebatik, seperti pendekatan bekalan air ke beberapa pulau lain bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Bayu Kasih 6.0 Pejabat Parlimen Kalabakan, di sini, hari ini.
Suryady berkata, cadangan itu turut dibangkitkan ketika sidang Parlimen baru-baru ini menerusi pertanyaan mengenai status dan perkembangan terkini projek Empangan Cinta Mata serta loji rawatan air berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan jawapan menteri berkaitan, projek itu dijangka siap pada 2028.
Selain pembinaan saluran paip bawah tanah, beliau turut mencadangkan penambahan kapasiti simpanan air dan menaik taraf empangan sedia ada bagi meningkatkan keupayaan bekalan untuk memenuhi keperluan penduduk.
Dalam perkembangan sama, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan akan memulakan inisiatif pengagihan air minuman kepada kira-kira 1,000 rumah di Pulau Sebatik bermula minggu depan.
Menerusi inisiatif itu, setiap rumah akan menerima tiga karton air bagi membantu meringankan beban penduduk yang berdepan kekurangan bekalan air bersih.
Suryady berkata, usaha Jabatan Air menyalurkan bekalan menerusi penghantaran terus ke rumah penduduk juga perlu diteruskan sehingga keadaan kembali pulih.
Mengulas cadangan penggunaan teknologi penyahgaraman air laut atau desalination plant, beliau berkata, kaedah itu memerlukan kos pelaksanaan yang tinggi.
Katanya, bagi menangani masalah dalam jangka pendek, kerja pembaikan telaga dan telaga tiub (tubewell) sedia ada sudah dilaksanakan untuk kegunaan penduduk kampung.
Bagaimanapun, Suryady berkata, sumber air berkenaan perlu diselenggara secara berkala, selain kualitinya yang masih menimbulkan keraguan, menyebabkan penduduk terus bergantung kepada bekalan air yang diagihkan Jabatan Air.-DRP
