TAWAU: Murid di kawasan luar bandar tidak seharusnya terus berdepan kemudahan pendidikan serba kekurangan apabila beberapa sekolah daif di Parlimen Kalabakan masih memerlukan kerja naik taraf segera.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata sekolah yang dikategorikan daif tahap enam dan tujuh perlu diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), terutama sekolah tahap tujuh yang berada dalam kategori paling kritikal.
Katanya, permohonan menaik taraf sekolah terbabit sudah dikemukakan kepada kementerian dan beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) tahun depan atau Rolling Plan Ketiga (RP3) pada 2028 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kita mahu walaupun Parlimen Kalabakan terletak di kawasan luar bandar, tahap kemudahan pendidikannya tidak terlalu jauh berbanding sekolah di kawasan bandar.
“Justeru, kita berharap sekolah yang berada pada tahap paling kritikal diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Permata 5.0 Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Suryady turut membangkitkan keperluan pembinaan makmal sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan yang sehingga kini berdepan kekangan kemudahan infrastruktur untuk menyediakan pembelajaran subjek berkenaan secara menyeluruh.
Menurutnya, ketiadaan makmal sains bukan sahaja menjejaskan kemudahan pembelajaran, malah boleh mengehadkan peluang pelajar meneroka bidang pendidikan yang memerlukan asas pengetahuan sains.
Katanya, KPM sebelum ini sudah memberikan komitmen untuk menyediakan kemudahan berkenaan dan beliau berharap ia tidak terus tertangguh.
“Kita tidak mahu pelajar di sekolah luar bandar dinafikan peluang mempelajari Sains hanya kerana ketiadaan kemudahan makmal.
“Keadaan ini juga boleh mengehadkan pilihan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke bidang tertentu, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap KPM memberi perhatian serius terhadap keperluan sekolah di Kalabakan supaya murid luar bandar tidak terus tercicir daripada menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik.-DRP
