KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,500 peserta menyertai acara PDRM Fun Run 2026 sejauh lima kilometer (5KM) yang berlangsung meriah di Dataran Merdeka, di sini, pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berkesempatan menyempurnakan pelepasan peserta selain beramah mesra dengan orang ramai yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Menurutnya, penganjuran acara itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan dewasa serta keluarga yang mengambil peluang mengisi pagi Ahad dengan aktiviti riadah.
Beliau berkata, program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat dalam suasana santai dan mesra.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada PDRM atas kejayaan penganjuran program berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau berharap semangat kebersamaan antara polis dan masyarakat terus diperkukuhkan selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.
Menurut laporan laman sosial rasmi PDRM lebih 20,000 peserta dan orang ramai dianggarkan hadir ke acara Fun Run pagi tadi.
DRP
