Editorial
MIRI:Tiga remaja ditahan selepas sebuah Perodua Kancil dipercayai merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Piasau, di sini, malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, 21 November itu, kenderaan berkenaan dipercayai dipandu laju dan melawan arus menuju ke arah Jalan Piasau Camp ketika pihak penguat kuasa sedang menjalankan sekatan jalan raya.
Pemandu kenderaan terbabit dipercayai gagal mematuhi arahan berhenti sebelum merempuh seorang anggota JPJ yang sedang membantu operasi penguatkuasaan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada mata kanan dan tangan kanan terkehel sebelum dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil.
Tindakan pantas pasukan Mobile Patrol Vehicle (MPV) IPD Miri yang membuat sekatan di Jalan Piasau Camp berjaya memberhentikan kenderaan berkenaan dan menahan ketiga-tiga individu terbabit.
Mereka terdiri daripada pemandu lelaki berusia 17 tahun, seorang penumpang lelaki berusia 19 tahun dan seorang penumpang perempuan berusia 18 tahun, kesemuanya warga tempatan.
Siasatan awal mendapati pemandu berusia 17 tahun itu tidak memiliki lesen memandu dan dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Polis turut merampas sebuah Perodua Kancil yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Ketua Polis Daerah Miri menegaskan pihaknya memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan anggota penguat kuasa dan orang awam.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa serta undang-undang jalan raya.
