PONTIAN: Seorang pesara sektor swasta berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM776,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien bin Mion Hussain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 November 2026 menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mula tertarik dengan satu iklan pelaburan bertajuk ‘Investment Learning’ yang dilihat di Facebook pada Julai 2026.
Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita menggunakan nama ‘Diana’ menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp yang memberikan panduan menyertai pelaburan saham menggunakan aplikasi Moomoo dan MetaTrader 5 (MT5).
Suspek turut menawarkan skim pelaburan yang didakwa mampu memberikan pulangan keuntungan sehingga 15 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
Terpengaruh dengan tawaran berkenaan, mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang dari awal Julai hingga November 2026, berjumlah keseluruhan RM776,000 ke lima akaun bank syarikat berbeza yang diberikan suspek.
Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi meningkatkan kadar komisen dan mengaktifkan semula aplikasi MetaTrader 5.
Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila diminta membayar tambahan sebanyak tujuh peratus bagi tujuan pengeluaran wang keuntungan.
Mangsa tidak meneruskan pembayaran itu selepas membuat semakan menerusi platform Semak Mule PDRM dan mendapati sebahagian besar akaun bank penerima mempunyai banyak rekod berkaitan.
Semakan lanjut dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut mendapati platform pelaburan berkenaan tidak mempunyai lesen sah atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.
Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM776,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Hadzrat menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap trend serta modus operandi terkini jenayah komersil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), iaitu @CyberCrimeAlert dan @JSJK PDRM di Facebook, Instagram serta TikTok.
Mereka turut disarankan menggunakan talian CCID Infoline, membuat semakan menerusi perkhidmatan Semak Mule dan menggunakan aplikasi Whoscall sebelum melakukan sebarang transaksi atau pembayaran kepada pihak tidak dikenali.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi membantu mengesan serta menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun terlibat.-DRP
