JOHOR BAHRU: Cubaan membawa masuk lebih 300 karton dan 200 paket rokok tidak bercukai ke Singapura gagal selepas seorang rakyat Malaysia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 16 November lalu.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan selepas kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandunya diarahkan menjalani pemeriksaan lebih teliti oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).
Pemeriksaan tersebut membawa kepada penemuan ratusan karton dan paket rokok yang disembunyikan di beberapa bahagian kenderaan berkenaan.
Menurut kenyataan ICA, pemandu bersama rokok yang dirampas kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Singapura untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan merupakan antara beberapa cubaan penyeludupan rokok menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang berjaya dipintas di pusat pemeriksaan darat Singapura sepanjang tahun ini.
Modus operandi penyeludup turut dikesan semakin pelbagai, termasuk menyembunyikan rokok di bahagian lantai kenderaan yang diubah suai, tempat duduk, pintu, ruang enjin dan tayar.
Dalam satu kes lain, rokok seludup turut ditemui tersembunyi di bahagian casis sebuah bas bernombor pendaftaran Malaysia.
Singapura mengenakan kawalan ketat terhadap kemasukan produk tembakau, dengan setiap rokok yang dibawa masuk tertakluk kepada duti kastam dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sama ada untuk kegunaan peribadi mahupun tujuan komersial.-DRP
