Editorial
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun ditahan polis semalam, selepas disyaki terbabit dalam kes curi kenderaan yang tular di media sosial Threads, membabitkan kejadian di kawasan perumahan PPR Sri Cempaka, Pantai Dalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Ahmad Firdaus bin Mustafea Kamal berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 9 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields hasil maklumat berkaitan kes berkenaan. Polis turut merampas sebuah Proton Iswara yang dilaporkan hilang serta sebuah van Toyota Liteace yang turut dikaitkan dengan kehilangan kenderaan membabitkan suspek sama.
Menurut beliau, suspek mempunyai sebanyak 39 rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Dalam pada itu, Ahmad Firdaus menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular berkenaan serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222 atau balai polis berhampiran.- DRP
