GEORGE TOWN: Polis Marin merampas 103.798 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM5.19 juta menerusi Op Taring Gelora pada 14 November lalu, sekali gus menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan bot gentian kaca.
Operasi itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki, termasuk seorang warga tempatan yang dipercayai menjadi dalang sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sindiket terbabit dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari dalam negara sebelum menyeludupnya untuk diedarkan ke negara jiran.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah bot gentian kaca yang ditahan mendapati ia dikendalikan dua lelaki warga Indonesia.
“Pemeriksaan fizikal terhadap bot berkenaan menemukan lima guni putih yang mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel ‘VIP 666’ yang disyaki mengandungi dadah,” katanya.
Hasil risikan susulan, polis kemudian menahan dua lagi lelaki, masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani.
Siasatan mendapati suspek dipercayai menawarkan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap perjalanan kepada individu yang bertindak sebagai pengangkut dadah.
Jumlah rampasan itu dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada lebih 500,000 penagih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-DRP
