IPOH: Seramai 372 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak menerusi Op Tapis Khas Bil. 02/2026 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri itu selama tiga hari bermula 23 hingga 25 November lalu.
Ketua Polis Perak, CP Dato’ Mohd Alwi bin Zainal Abidin berkata, operasi melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai RM49,648.30.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 248 pegawai dan anggota polis, terdiri daripada 25 pegawai kanan serta 223 pegawai rendah polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai-balai polis dan Pasukan Gerakan Marin.
Operasi itu memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti penagihan.
Antara kawasan yang diberi perhatian termasuk skim FELDA, FELCRA, ladang swasta, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah pangsa dan jeti nelayan.
Daripada keseluruhan tangkapan, 356 individu merupakan lelaki manakala 16 lagi perempuan, dengan lingkungan umur antara 14 hingga 70 tahun.
Mengikut pecahan kaum, seramai 265 individu terdiri daripada Melayu, 27 Cina, 42 India, lima daripada lain-lain bangsa dan 33 warga asing.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada 13 warga Indonesia, 14 Thailand, lima Myanmar dan seorang Vietnam.
Berdasarkan kategori kesalahan, seramai 66 individu ditahan atas kesalahan pengedaran dadah, 206 kerana memiliki dadah manakala 100 lagi disiasat sebagai penagih di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiga individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki turut berjaya ditahan dalam operasi berkenaan.
Selain itu, JSJN Perak mengenal pasti dua penagih dadah tegar untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Antara dadah yang dirampas ialah 212.98 gram heroin, 251.95 gram syabu (methamphetamine), 288.61 gram ganja, 17.74 gram ketamin dan 7.46 gram pil Erimin 5.
Polis turut merampas 2,300 gram daun ketum, 126.10 liter cecair ketum serta 0.18 liter kodien.
Dalam operasi sama, sebuah kenderaan dan wang tunai turut disita dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM4,700.
Dato’ Mohd Alwi berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan, khususnya PDRM.
Beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.-DRP
