RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas polis menemukan beberapa kotak rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam menerusi Op Tiris di sekitar daerah ini.
Rampasan itu dilakukan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil maklumat yang disalurkan oleh masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin bin Mahmud berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan menjalankan pemeriksaan di premis-premis sekitar daerah itu, termasuk pemeriksaan lesen penjual dan pengedar barangan keperluan bersubsidi.
Menurutnya, pemeriksaan itu bertujuan mengesan serta mencegah sebarang penyalahgunaan dan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan beberapa kotak mengandungi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam sebelum menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mursalin berkata, BKDNKA IPD Ranau akan terus mempergiat pelaksanaan Op Tiris melalui rondaan dan pemeriksaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah berkenaan.
Beliau turut menghargai kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam membantu usaha pencegahan jenayah.
Katanya, masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala hubungan erat antara komuniti dan pihak berkuasa dapat membantu memperkukuh keselamatan setempat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan mencurigakan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222.-DRP
