OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengaku bersalah memuat naik gambar seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di laman sosial Instagram berserta kapsyen berunsur buli dan ugutan diberi amaran serta dilepaskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Keputusan itu dibuat Majistret Don Stiwin Malanjum selepas mengambil kira syor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak pendakwaan dan sikap tertuduh yang menginsafi perbuatannya termasuk sudah memohon maaf secara peribadi kepada mangsa.
Mahkamah turut mengambil kira pengakuan tertuduh bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama, selain mahu memberikan tumpuan kepada pelajarannya.
Anak sulung daripada lima beradik itu diberi amaran dan dilepaskan mengikut Seksyen 91(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM500 dikembalikan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian didakwa memuat naik gambar mangsa tanpa mengetahui atau mempunyai alasan untuk mengetahui bahawa penerbitan, pengedaran atau penyediaan maklumat identiti berkenaan berkemungkinan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran, di daerah ini, kira-kira jam 12 tengah hari, 17 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang menghantar tangkap layar memaparkan gambar anaknya di Instagram berserta beberapa kapsyen berunsur tuduhan buli dan ugutan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Tawau bertindak memuat naik gambar mangsa selepas membaca perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang mendakwa adik sepupu seorang rakannya dibuli oleh mangsa dan seorang lagi individu.
Tertuduh kemudian mengakui terikut emosi sebelum mendapatkan gambar mangsa dan memuat naiknya ke Instagram ‘Story’ melalui akaun miliknya berserta kapsyen berunsur ugutan.
Terdahulu, JKM dalam syornya menyifatkan pendekatan memberi amaran dan melepaskan tertuduh sebagai bersesuaian demi kepentingan terbaik kanak-kanak, termasuk memberikan pengajaran, kesedaran dan peringatan supaya kesalahan sama tidak berulang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.-DRP
