ISKANDAR PUTERI: Siasatan polis terhadap kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di kawasan Nusa Bestari, di sini, membawa kepada penemuan unsur jenayah curi kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM).
Kejadian pada 24 November lalu kira-kira jam 4.30 pagi itu mengakibatkan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 34 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki serta kepala.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia pada 25 November kira-kira jam 10 pagi akibat kecederaan yang dialami.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Radin Ramlan bin Radin Taha berkata, pihaknya pada awalnya menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya berkenaan sebelum kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah.
Menurutnya, polis turut mengesan satu rakaman video kejadian yang tular di media sosial Facebook menerusi akaun bernama “Azman Man Terr”.
Bagaimanapun, siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri menemukan unsur jenayah berkaitan kegiatan mencuri kabel telekomunikasi TM di sebalik insiden berkenaan.
Pihak TM Johor Bahru turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, siasatan turut dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh, Seksyen 431A Kanun Keseksaan berhubung perbuatan khianat dengan membinasakan kabel serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kerosakan kepada rangkaian.
Polis kini giat menjalankan usaha mengesan semua suspek yang dipercayai terlibat bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Radin Ramlan menasihatkan orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya menyaksikan sebarang kejadian jenayah dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga boleh membahayakan keselamatan diri atau orang awam.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.-DRP
