SHAH ALAM: Enam individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok.
Mereka terdiri daripada tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam yang akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Dato’ Hussein Omar Khan berkata, keputusan pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak berkenaan memberikan arahan untuk mendakwa keenam-enam suspek.
Beliau berkata, perkembangan itu menyusul operasi bersepadu antara JSJN dan Cawangan Provost Marshal TUDM yang dilaksanakan pada 17 hingga 19 November lalu.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 13 individu, membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.
Sementara itu, tujuh lagi suspek akan dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
JSJN menegaskan komitmennya untuk terus memerangi kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, selaras dengan pendirian bahawa dadah merupakan musuh nombor satu negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.-DRP
