Oleh: Abd Karim
MARANG: Laluan berlumpur, licin dan mencabar ketika musim tengkujuh menjadi medan ujian getir buat 54 pelumba yang menyertai kejohanan GG4x4 Medium Core 2026 di Bukit Payung, di sini.
Kejohanan selama dua hari itu mempertandingkan kategori Medium Core dan Hantu Hardcore, dengan penyertaan pelumba dari beberapa negeri yang hadir menguji kemampuan jentera pacuan empat roda (4×4) serta kemahiran masing-masing menakluki laluan lasak.
Pengarah pertandingan, Tengku Khairul A. Rahman berkata, kejohanan berkenaan pada asalnya dirancang bagi memberi peluang kepada pemilik jentera 4×4 persendirian, khususnya penduduk kampung sekitar, merasai pengalaman menyertai pertandingan sukan permotoran lasak.
Menurutnya, sambutan diterima di luar jangkaan apabila penyertaan turut menarik minat pelumba dari beberapa negeri.
“Pada asalnya, penganjuran ini bertujuan memberi peluang kepada pemilik jentera 4×4 persendirian, khususnya penduduk kampung sekitar, untuk merasai sendiri cabaran perlumbaan sebenar.
“Namun, permintaan daripada pelumba profesional yang mahukan cabaran lebih kompetitif ketika musim hujan mendorong kami memperkenalkan kategori Hantu Hardcore,” katanya.
Tengku Khairul yang juga pelumba profesional dan pernah beraksi di peringkat antarabangsa berkata, sambutan menggalakkan itu cukup membanggakan penganjur meskipun kejohanan berkenaan tidak menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan.
Sepanjang pertandingan, setiap pelumba perlu mengharungi lima peringkat khas atau special stage (SS) yang perlu diselesaikan dalam tempoh dua hari perlumbaan.
Kejohanan anjuran Kelab GG4x4 yang berpangkalan di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung itu turut mendapat kerjasama penduduk setempat.
Penganjuran berkenaan bukan sahaja menguji ketahanan jentera dan kemahiran pelumba, malah membuka ruang untuk memperkenalkan sukan permotoran 4×4 sebagai salah satu tarikan komuniti serta pelancongan luar bandar.- DRP
