LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 167 kes penguatkuasaan dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM18.83 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November 2026.
Pengarah JKDM Labuan, Saidin Jalaludin berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan 12 operasi penguatkuasaan, termasuk lima operasi khas yang memberi tumpuan kepada kenderaan, rokok dan minuman keras.
Menurutnya, kenderaan mencatat nilai rampasan tertinggi sebanyak RM8.22 juta membabitkan 66 unit, diikuti minuman keras bernilai RM4.92 juta.
Antara operasi khas yang dilaksanakan ialah Operasi Radu, Radu Bersepadu dan 90 Plus bagi mengesan kenderaan dari Pulau Bebas Cukai Labuan yang disyaki melanggar syarat pengecualian cukai.
Menerusi ketiga-tiga operasi itu, sebanyak 25 kenderaan disita dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM4.85 juta.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas di Pejabat Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiansam, di sini.
Selain itu, Operasi Gembleng dilaksanakan bersama Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Labuan bagi mengesan barangan kosmetik dan dadah yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang.
Operasi Samudera pula memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras di perairan sekitar Labuan serta pesisir pantai barat Sabah.
Saidin turut memaklumkan nilai sitaan bagi operasi khas yang memfokuskan kenderaan, rokok dan minuman keras berjumlah RM4,963,198 termasuk duti dan cukai.-DRP
