Editorial
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 26 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kampung Jenalik, Lubuk Merbau, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Heisham bin Harun berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada seorang lelaki Cina pada 26 November lalu, kira-kira jam 10.39 pagi.
Menurutnya, siasatan awal dijalankan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang sebelum usaha tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki Melayu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Pada 27 November 2026, jam lebih kurang 4.30 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar telah berjaya menahan seorang lelaki Melayu yang dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat,” katanya dalam kenyataan media pada 28 November.
Beliau berkata, soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di Kampung Teratai, Tanah Merah, Kuala Kangsar.
Polis turut menemui sebilah pisau disyaki senjata yang digunakan suspek semasa kejadian.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak, bagi tujuan bedah siasat.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes ASP Mohamad Fadhil bin Ab Wahab di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar menerusi talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7776222.
– DAKWAT RAKYAT POST –
DRP
