LAHAD DATU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah melihat potensi pelancongan sebagai antara aset terpenting yang boleh mengangkat Silam ke peringkat lebih tinggi.
Mizma berkata Silam memiliki kekayaan alam semulajadi dan budaya yang unik yang boleh membuka ruang besar untuk pembangunan sektor pelancongan yang inklusif.
Katanya, pengalaman membesar di kawasan itu memberinya pemahaman mendalam tentang keunikan tempatan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung dalam dan luar negara.
“Saya yakin pelancongan berasaskan komuniti dapat memberi peluang ekonomi baharu kepada penduduk, terutama golongan belia dan usahawan kecil.
“Pembangunan sektor ini bukan hanya tertumpu kepada promosi destinasi tetapi turut merangkumi usaha memelihara budaya, kesenian dan kehidupan tempatan,” jelasnya.
Menurut Mizma, asal usulnya sebagai anak jati Silam menjadi landasan penting untuk membawa pembangunan yang lebih bermakna kepada kawasan Silam.
Katanya, kedudukannya sebagai penduduk tempatan memberinya pemahaman yang jelas tentang harapan dan keperluan masyarakat di kawasan tersebut.
Mizma menjelaskan bahawa hubungan rapat yang terjalin sejak kecil bersama penduduk setempat membolehkannya melihat dengan lebih dekat isu harian yang dihadapi mereka.
Beliau menyatakan penglibatannya merentasi pelbagai bidang seperti pembangunan belia, keusahawanan, aktiviti badan bukan kerajaan dan program kemasyarakatan menjadi asas kukuh kepada peranannya hari ini.
Pengalaman itu membantu menghubungkannya dengan pelbagai lapisan masyarakat yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Penglibatan dalam politik pula memberi ruang lebih luas untuk memahami situasi penduduk secara menyeluruh dan beliau percaya masyarakat dapat menilai usaha serta kehadirannya yang konsisten di lapangan dari dahulu hingga kini.
Katanya, pendekatan mendengar pandangan dan memahami keadaan sebenar penduduk menjadi asas penting dalam membina hubungan yang harmoni.
“Saya berharap dapat membawa suara masyarakat Silam ke peringkat lebih tinggi agar setiap keperluan dapat ditangani dengan lebih teratur demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Mizma turut menegaskan bahawa isu pengurusan sampah di kawasan itu akan diberikan tumpuan sebagai salah satu keutamaan dalam perancangannya.
Katanya lagi, pendidikan akan terus diperkukuh termasuk cadangan mewujudkan sebuah sekolah menengah agama bagi memenuhi keperluan setempat.
Beliau juga berhasrat menggerakkan lebih banyak inisiatif pembangunan belia melalui peluang latihan, sukan dan program kepimpinan.
Mizma menyifatkan manifesto yang diketengahkan sebagai komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan inklusif dan mampan.
-Tamat-
