LAHAD DATU: Penyandang kerusi N.61 Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi, membentangkan perancangan komprehensif merangkumi komitmen 100 hari dan hala tuju pembangunan lima tahun bagi memastikan Segama terus maju dengan pembangunan seimbang untuk rakyat.
Mohamaddin, yang bertanding sebagai calon Bebas, berkata agenda 100 hari itu memberi tumpuan kepada inisiatif segera melibatkan penaiktarafan kemudahan awam, kebajikan penduduk dan pengukuhan penyertaan belia dalam komuniti.
Antara program teras ialah pemasangan lampu jalan solar di 20 kampung di bawah inisiatif SMART 2.0 serta pelaksanaan program kebersihan komuniti yang digerakkan oleh anak muda.
Beliau turut mengumumkan skim MEMBARA 2.0 yang menyediakan bahan baik pulih rumah untuk lima keluarga berpendapatan rendah di setiap sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Segama.
“Proses pewartaan beberapa kampung seperti Kampung Wawasan 1, Kampung Wawasan 2, Kampung Burung, Kampung Unta dan Kampung Damai akan dipercepatkan.
“Saya juga akan memastikan isu komuniti dapat dibangkitkan secara langsung kepada pemimpin melalui penganjuran Program Kenduri Rakyat,” katanya.
Dalam usaha memperkasa belia, Mohamaddin berikrar meneruskan Liga Belia Kampung sepanjang tahun, membabitkan 55 lokaliti dengan pertandingan bola sepak, futsal, badminton dan e-sukan.
Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, Inisiatif Sara Hidup 2.0 akan menawarkan bantuan tunai RM100 sebulan selama setahun kepada keluarga layak, selain penyediaan klinik pakar bergerak menerusi program Flying Specialist Doctors.
Pelajar serta kumpulan komuniti turut akan menerima sokongan melalui Bantuan Khas Segama merangkumi bantuan bulanan RM500 dan geran sekali bayar untuk keperluan pendidikan.
Segama juga dijangka menjadi tuan rumah East Coast Motorsports Event (ESME) pada awal 2026, yang dijangka merancakkan ekonomi tempatan termasuk sektor perniagaan kecil.
Selain itu, usahawan, ibu tunggal dan belia boleh memohon geran RM3,000 hingga RM5,000 di bawah BESH 2.0 bagi menyokong perusahaan kecil, pembelian peralatan asas atau persediaan perkahwinan bagi mereka yang belum berpendapatan tetap.
Bagi tempoh lima tahun, Mohamaddin berkata tumpuan akan diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik yang diyakini mampu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Segama.
Antaranya termasuk cadangan pembinaan jalan luar bandar alternatif menghubungkan Segama POIC dan Jalan Tengah Nipah bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan akses ke pusat ekonomi.
Beliau berkata pelaksanaan segera Loji Rawatan Air Sri Putatan dan rangkaian paip sokongannya turut dirancang bagi memastikan bekalan air bersih lebih stabil di Segama dan Lahad Datu.
Turut dicadangkan pembangunan Dewan Kebudayaan Segama serta pusat aktiviti belia yang dilengkapi padang sintetik, selain pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Bandar Baru Segama untuk menyelaras perkhidmatan kerajaan pada satu lokasi.
“Keseluruhan perancangan ini adalah kesinambungan komitmen saya untuk memastikan pembangunan Segama terus stabil, inklusif dan memberi manfaat kepada generasi masa depan,” katanya.
-Tamat-
