KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditemui meninggal dunia di dalam Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa ditemukan terbaring di atas pentas dewan oleh dua pekerja penyelenggaraan sekitar jam 10.10 pagi sebelum pihak perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas mengesahkan kematiannya pada jam 11.10 pagi.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dipercayai terjatuh di dalam Dewan Canselor pada Rabu kira-kira jam 6.09 petang,” katanya semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa kecuali kesan akibat terjatuh. Pasukan Forensik IPK Sabah turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Setakat ini polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR),” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Sementara itu, mangsa dikenali sebagai Aiman Hakim Norazam, pelajar tahun satu Fakulti Sains dan Teknologi yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dengan Kepujian.
