KOTA KINABALU,Satu kunjungan ziarah telah dilakukan semalam bagi memberi penghormatan terakhir serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Aiman Hakim bin Norazam, pelajar jurusan Sains Marin Universiti Malaysia Sabah UMS yang meninggal dunia di kampus kelmarin.
Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Sandakan tengah hari ini sebelum dikebumikan di sana.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Dr Raman Noordin, barisan pegawai kanan UMS, ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Tuan Azrul Ibrahim yang turut bersama dalam ziarah itu merakamkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan dan menyatakan simpati kepada keluarga Allahyarham. Beliau mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat ini.
UMS sebelum ini memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta memastikan urusan pengurusan jenazah berjalan dengan lancar. Pihak universiti turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta warga kampus yang terkesan dengan kejadian ini.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah.
