SEMPORNA: Tindakan pantas polis susulan maklumat awam membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara Filipina yang disyaki memiliki 5.21 gram syabu di kawasan Jeti Pelancong Kampung Bangau-Bangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 9 malam itu dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Semporna menerusi Op Tapis.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu peket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu yang disembunyikan dalam kotak rokok. Suspek turut menyerahkan sendiri kotak tersebut ketika pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujian awal air kencing ke atas suspek berusia 27 tahun itu mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine. Semakan juga menunjukkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis menegaskan komitmen mereka memerangi aktiviti dadah dan menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah narkotik di daerah itu.
— Tamat —
