LAHAD DATU: Dua wanita ditahan dan dadah disyaki jenis syabu dirampas dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu di Jalan Dam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail, berkata serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung aktiviti dadah di lokasi terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang suspek tempatan berusia 42 tahun menyimpan syabu yang disorokkan di dalam kotak rokok, manakala pemeriksaan ke atas seorang lagi wanita warga asing berumur 52 tahun tidak menemukan sebarang barang terlarang.
Bagaimanapun, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menegaskan usaha memerangi jenayah dadah akan terus diperkukuhkan di daerah ini.
