KOTA BELUD: Seorang warga emas wanita yang dilaporkan hilang sejak 15 Disember lalu ditemukan meninggal dunia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keenam di Kampung Tambulion Laut, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Minun binti Kasim, 83, ditemukan sekitar jam 10 pagi di Sektor 2, kawasan pertanian Tumpul Tambulion Luminodip, kira-kira 1.7 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pencarian bermula jam 9.20 pagi melibatkan tiga sektor utama iaitu tepi Sungai Wariu, kawasan pertanian, serta Sungai Kuala Abai dan persisiran pantai.
Penemuan itu dilakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.
Pasukan SAR berdepan cabaran untuk membawa mangsa keluar disebabkan paras air sungai yang dalam dan arus deras sebelum menggunakan laluan alternatif melalui kebun sawit ke lokasi dengan kenderaan utiliti Vigo Bomba.
Mangsa kemudian dibawa ke jalan utama dan seterusnya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Thomas Bolu, dibantu PPgB Elge Bakuk selaku Komander Operasi Kanan, dengan penyertaan 12 anggota bomba bersama Unit K9, Unit Drone serta sokongan pelbagai agensi.
Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada jam 12.40 tengah hari selepas keadaan lokasi disahkan selamat.
-Tamat-
