KENINGAU, Tiga lelaki cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D Max dan Proton Saga berhampiran bulatan JKR Keningau lewat malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 malam melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira kira enam kilometer dari balai.
Setibanya pasukan di lokasi pada jam 11.54 malam, Komander Operasi PBK I Norhasrita Abdul Manan melaporkan terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan Proton Saga. Anggota bomba kemudian bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa.
Seorang mangsa berusia 20 tahun dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba manakala dua lagi mangsa berusia 20 dan 21 tahun dibawa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kesemua mangsa dilaporkan cedera.
Operasi turut dibantu anggota polis dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia. Setelah memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.
Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Rayner Laumin @ Rosiman berusia 20 tahun manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti identiti dan maklumat penuh.
