KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Ops Mahir dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, semalam.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kota Kinabalu, membabitkan seramai 21 pegawai.
Tumpuan diberikan terhadap premis makanan, perniagaan dan sektor perkhidmatan yang disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Sepanjang operasi, enam premis diperiksa dengan melibatkan 37 individu.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 17 PATI terdiri daripada lima lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa.
Pecahan warganegara menunjukkan 16 daripadanya adalah warga Filipina melibatkan lima lelaki dewasa dan 11 perempuan dewasa, manakala seorang lagi merupakan perempuan dewasa warga Indonesia.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar bagi tujuan dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan, JIM Negeri Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan dan menyeluruh bagi membanteras kehadiran PATI, mencegah penyalahgunaan permit serta memastikan majikan mematuhi undang-undang imigresen negara.
Orang awam dan majikan turut diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah, kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
