SIPITANG: Empat penghuni sebuah rumah di Perumahan PMP Baru di sini berdepan detik cemas apabila kejadian tanah runtuh menjejaskan bahagian dapur kediaman mereka, petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.17 petang itu, kesemua penghuni yang terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai dan tiba pada jam 4.27 petang.
“Tiada operasi menyelamat dijalankan kerana semua penghuni berada dalam keadaan selamat. Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan dan memberi nasihat keselamatan kepada penghuni,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penghuni dinasihatkan supaya mengosongkan rumah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan terdapat risiko berlakunya runtuhan susulan.
Pemantauan di lokasi turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Pegawai Daerah (ADO). Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali turut hadir bagi meninjau keadaan.
Operasi ditamatkan pada jam 7.05 malam selepas keadaan disahkan selamat sebelum anggota dan jentera kembali ke balai.
