Golongan mahasiswa diseru agar memberi keutamaan kepada pelajaran dan tidak terikut dengan budaya politik luar yang bersifat kasar, mencaci serta memaki pemimpin, yang disifatkan bertentangan dengan nilai adab dan budaya ketimuran negara ini.
Aktivis masyarakat, Hj.M.Ridzal berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang menjunjung adab dan kesopanan, justeru perbezaan pandangan perlu disuarakan secara berhemah dan profesional tanpa emosi melampau.
Menurutnya, pelajar wajar menjadikan keadaan di negara luar yang bergolak sebagai pengajaran dan bukan menanam bibit kehancuran di dalam negara sendiri.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak mudah menghukum atau terpengaruh dengan naratif politik tertentu, kerana tidak semua tuduhan yang dilemparkan adalah benar dan ada kemungkinan ia bersifat serangan politik.
Katanya, idola yang kelihatan bersih dan suci juga tidak semestinya seperti yang digambarkan, malah pelajar boleh sahaja dipergunakan tanpa disedari.
Dalam masa sama, Hj M Ridzal menyeru pelajar supaya mengingati tujuan utama mereka melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi, iaitu menimba ilmu dan membina masa depan demi keluarga. Beliau menegaskan tidak salah untuk bersuara dalam politik, namun ia perlu berpada, matang dan disertai kefahaman sejarah serta realiti sebenar perjuangan, bukan sekadar terpengaruh dengan kata kata indah.
Sehubungan itu, pihak pengurusan institusi pengajian tinggi serta ibu bapa disaran memainkan peranan lebih aktif menasihati pelajar agar mengutamakan pendidikan, memelihara adab dan mengamalkan kesabaran dalam menilai sesuatu isu demi kesejahteraan negara.
“Sebarang pelanggaran undang-undang yang serius boleh membawa pada tindakan mahkamah dan inilah yang harus dielakkan oleh golongan pelajar,” katanya.
