SANDAKAN: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan dua lelaki dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Batu 3, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman berkata, operasi yang dilaksanakan kira-kira jam 10 pagi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis dalam memerangi jenayah dadah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, dalam operasi tersebut, sepasukan polis telah melakukan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan Kampung Cahaya Baru, Batu 3, sebelum menahan seorang lelaki yang disyaki memiliki dadah jenis syabu.
“Susulan serbuan itu, pasukan operasi BSJND IPD Sandakan turut menahan seorang lagi lelaki di kawasan tepi Jalan Utara, Batu 3, atas kesalahan yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan keputusan ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.
Kedua-dua suspek kini ditahan di Lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.
