RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun selepas pemeriksaan menemui dua botol cecair vape disyaki mengandungi bahan terlarang jenis magic mushroom di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang dipandu suspek.
Hasil pemeriksaan menemukan satu unit peranti vape berwarna merah bersama dua botol cecair vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang.
Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk siasatan lanjut. Semakan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut merakam percakapan saksi-saksi berkaitan dan suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk terus memperketatkan penguatkuasaan dan membanteras penyalahgunaan dadah di daerah Ranau demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
