KENINGAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar daerah Keningau, baru-baru ini.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata seramai 16 individu telah ditahan hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam serta risikan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi berasingan.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 21 Januari 2026 itu melibatkan seramai 15 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Keningau, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Hasil pemeriksaan ke atas 22 individu, seramai 15 pendatang asing tanpa izin berjaya ditahan, terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Datuk SH Sitti Saleha berkata, siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk mereka yang melindungi atau menggaji PATI.
“JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berkesan.
