TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah menahan dua wanita dalam dua kes berasingan di daerah ini kerana disyaki memberikan maklumat palsu berkaitan permohonan dokumen pengenalan diri, Selasa lalu.
Tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah menerusi operasi berasingan di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Tawau.
Dalam kes pertama, seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas dipercayai mengemukakan maklumat tidak benar sebagai pemohon bagi permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan di JPN Daerah Tawau.
Siasatan awal mendapati suspek memberikan butiran palsu semasa proses permohonan dokumen pengenalan diri berkenaan.
Dalam tangkapan kedua, seorang wanita warga emas ditahan kira-kira jam 2 petang di lokasi sama.
Suspek disyaki memberikan maklumat palsu sebagai penganjur dengan mengaku sebagai ibu kepada pemohon ketika urusan permohonan kad pengenalan yang dibuat di JPN Daerah Kinabatangan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam kenyataan, JPN Negeri Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh integriti sistem pendaftaran negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan maklumat atau penipuan dokumen rasmi demi menjamin keselamatan serta kedaulatan sistem pengenalan diri negara.
