KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) merampas sebanyak 27,000 kilogram produk ayam sejuk beku bernilai RM268,410 yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import sah dalam satu operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar dan Inanam Laut, baru-baru ini.
Rampasan dilakukan hasil risikan DVS Wilayah Kota Kinabalu selepas pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
Hasil pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menegaskan kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan sah kerana boleh menjejaskan kesihatan awam dan biosekuriti negeri.
“Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan hanya produk makanan yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran demi melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang dengan penglibatan pelbagai unit penguatkuasaan DVS.
“Operasi ini melibatkan kerjasama Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan operasi berkenaan.
