TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing selepas bertindak mengamuk dan mencetuskan kekecohan di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.30 malam berhubung kejadian tersebut.
Menurut beliau, sepasukan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan dari Balai Polis Tawau segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan dan menenangkan suspek.
“Suspek berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau untuk menjalani ujian saringan awal air kencing kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus menguatkan kepercayaan bahawa lelaki berkenaan merupakan warga asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan lanjut turut diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
