KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meletakkan pembangunan belia sebagai antara tonggak utama hala tuju negeri selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penekanan terhadap pembangunan belia itu selari dengan aspirasi Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang mahu golongan berkenaan diperkasa sebagai pelapis kepimpinan masa depan negeri.
Menurutnya, belia bukan sahaja aset penting pembangunan negeri, malah berperanan besar dalam memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan politik serta pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan.
“Kerajaan negeri amat menitikberatkan peranan golongan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan.
Mereka perlu diperkasa dengan ilmu, kemahiran dan peluang bagi membolehkan Sabah kekal kompetitif di peringkat nasional dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Majlis Belia Sabah (MBS) sekali gus menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat kementeriannya di Bangunan MUIS, di sini, hari ini.
Datuk Nizam turut menegaskan bahawa Majlis Belia Sabah perlu sentiasa bergerak seiring dengan dasar dan agenda kerajaan negeri dalam membangunkan potensi belia, selain bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
“Golongan belia perlu memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik dan ekonomi negeri yang sedang dibina ketika ini,” katanya.
Majlis Belia Sabah merupakan badan induk kepada pertubuhan belia di negeri ini dan berfungsi sebagai suara utama serta penggerak kepada pembangunan generasi muda di Sabah.
