KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menegaskan bahawa sebarang aktiviti pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan tanaman guarana di negeri ini adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan implikasi perundangan antarabangsa serta risiko terhadap industri pertanian tempatan.
Menterinya, Datuk Haji Jamawi Jaafar berkata, larangan itu selaras dengan kenyataan rasmi Jabatan Pertanian Malaysia bahawa pengimportan dan penanaman guarana di Malaysia termasuk Sabah adalah tidak dibenarkan, selain pemakluman rasmi daripada Ministry of Agriculture, Livestock and Food Supply (MAPA), Brazil.
Menurut beliau, melalui surat rasmi MAPA OFÍCIO Nº 5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020, Kerajaan Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana untuk tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.
“Mana-mana pihak yang menanam guarana tanpa kebenaran berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil termasuk amaran, penyitaan dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamawi menjelaskan, guarana merupakan tanaman herba semula jadi yang berasal dari Lembah Amazon, Brazil, iaitu kawasan yang turut mencatatkan insiden penyakit South American Leaf Blight (SALB) disebabkan oleh kulat Microcyclus ulei.
Katanya, penyakit SALB disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan boleh menyebabkan pengurangan hasil lateks, pertumbuhan pokok getah terbantut serta kematian pokok getah.
“Risiko kemasukan penyakit ini amat membimbangkan kerana ia berpotensi menjejaskan industri getah negara, khususnya di Sabah yang mempunyai keluasan tanaman getah seluas 241,565 hektar dengan pengeluaran sebanyak 75,760 tan pada tahun 2024, sekali gus memberi pendapatan bernilai RM287.8 juta kepada pekebun kecil,” katanya.
Selain itu, beliau berkata guarana juga berisiko membawa penyakit baharu seperti Colletotrichum guaranicola yang boleh menyerang guarana serta tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran lain termasuk betik, pisang, mangga dan cili, sekali gus mengancam keselamatan agromakanan negeri.
Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Sabah tidak membenarkan pengimportan tumbuhan, produk pertanian dan artikel terkawal dari Brazil tanpa kebenaran.
Jamawi berkata, selaras dengan Peraturan No.5, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167), sebarang aktiviti membawa masuk tumbuhan, produk pertanian atau artikel terkawal tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah melalui Permit Import atau Sijil Pemeriksaan adalah dilarang dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.
Beliau turut merujuk Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 yang diwartakan pada 1 Disember 2025, yang mentakrifkan tumbuhan berbahaya sebagai bahan tanaman tidak sah termasuk tumbuhan yang dibawa masuk atau dibiakkan tanpa melalui prosedur pengimportan, pemeriksaan pintu masuk atau kuarantin.
“Setakat ini, MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan sebarang pengimportan bahan tanaman guarana. Mana-mana bahan tanaman guarana yang dibawa masuk secara tidak sah adalah melanggar undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Beliau menegaskan semua pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan guarana serta sentiasa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan demi melindungi industri pertanian, biodiversiti dan keterjaminan makanan negeri Sabah.
