RANAU: Seorang pendaki lelaki berusia 33 tahun mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika berada di KM 1, Gunung Kinabalu, pagi tadi, sebelum berjaya dibantu turun oleh pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 9.41 pagi daripada seorang pemandu pelancong yang memaklumkan keadaan kesihatan pendaki berkenaan.
Menurutnya, sepasukan enam anggota Pasukan Bomba MOCSAR segera digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 9.50 pagi, dengan jarak kira-kira satu kilometer dari pintu masuk laluan pendakian.
“Setibanya di lokasi, pasukan MOCSAR bersama lima petugas Sabah Parks mendapati mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas. Bagi memastikan keselamatan, mangsa dibawa turun menggunakan stretcher ke Timpohon Gate,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rantey berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Sabah Parks sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan agensi berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi menyelamat diketuai oleh Hafiz Soinin dan berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.14 pagi setelah keadaan disahkan selamat,” katanya.
