TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah ketika rondaan Cegah Jenayah di Taman Sentosa, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan perumahan Taman Sentosa selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebelum pemeriksaan tubuh badan dilakukan, namun tiada barang salah ditemui.
“Bagaimanapun, suspek ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan sendiri,” katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Tambahnya, suspek turut mengaku menggunakan dan menghisap dadah jenis syabu sebelum ini.
Jelasnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah, ugutan serta keganasan rumah tangga.
“Polis Tawau memberi amaran dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah kerana ia menjadi punca kepada pelbagai jenayah lain.
“Operasi dan rondaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini kekal aman dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya.
