Rina ketika melawat keluarga pesakit berkenaan di Hospital Tawau.
TAWAU: Hospital Tawau mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar atau Awake Craniotomy buat pertama kali di Pantai Timur Sabah, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kepakaran di fasiliti berkenaan.
Kejayaan prosedur itu dimaklumkan menerusi kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang menyatakan pembedahan tersebut dijalankan pada 23 Februari lalu di Dewan Bedah Hospital Tawau dengan kerjasama pakar berkaitan.
Prosedur berkenaan membabitkan kerjasama pasukan Pembedahan Saraf Hospital Tawau bersama pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Queen Elizabeth II (HQE2).
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan kepakaran tempatan serta menjadi pencapaian membanggakan bagi perkhidmatan kesihatan di Pantai Timur.
Menurutnya, pembedahan tersebut diketuai pakar bedah saraf dengan sokongan pasukan anestesiologi dan pakar berkaitan yang turun bersama bagi memastikan prosedur berjalan lancar.
“Alhamdulillah, pembedahan ini berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara pakar dari Kota Kinabalu yang turun bersama pasukan di Hospital Tawau.
“Ia merupakan pertama kali dilakukan di Pantai Timur Sabah, di mana kita melaksanakan awake surgery iaitu pesakit dipantau dalam keadaan sedar sepanjang pembedahan bagi menilai fungsi otak dan memastikan keberkesanan prosedur,” katanya
Rina berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama asnaf dan warga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) Peringkat Daerah Tawau di Sri Stella, di sini.
Beliau berkata, pencapaian itu selaras dengan hala tuju menjadikan Hospital Tawau sebagai hospital peringkat negeri yang mampu menawarkan perkhidmatan kepakaran lebih tinggi tanpa perlu merujuk pesakit ke luar daerah.
Menurutnya, peningkatan kes penyakit berkaitan jantung dan gangguan otak ketika ini memerlukan kesiapsiagaan perkhidmatan kepakaran yang lebih menyeluruh.
“Dengan adanya pakar serta kemampuan melaksanakan prosedur ini, kita tidak lagi terlalu bergantung kepada tenaga luar.
“Ini memberi kelegaan kepada pesakit kerana mereka boleh mendapatkan rawatan kepakaran di sini tanpa perlu ke hospital tertier yang jauh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa isu kesihatan awam terutama peningkatan kes denggi di daerah ini memerlukan kerjasama semua pihak.
Katanya, banyak kes denggi berpunca daripada masalah infrastruktur seperti parit tersumbat dan saliran tertutup akibat kerja naik taraf rumah kediaman yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk.
“Masalah denggi bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi tanggungjawab bersama masyarakat.
“Kita tidak perlu menuding jari, sebaliknya perlu meningkatkan kesedaran bahawa kebersihan persekitaran adalah kunci utama bagi mencegah risiko penyakit yang boleh membawa maut,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tempatan sentiasa berusaha memperbaiki infrastruktur, namun keberkesanan usaha itu memerlukan sokongan dan kerjasama komuniti secara berterusan.
JKNS sebelum ini memaklumkan prosedur Awake Craniotomy yang dijalankan membabitkan seorang pesakit wanita berusia 48 tahun yang mengalami lesi otak sejak November tahun lalu.
Prosedur selama kira-kira dua jam setengah itu dilaksanakan dengan selamat dan pesakit dilaporkan stabil serta sedang menjalani pemantauan rapi.
