KUDAT: Pelbagai produk ayam dan daging sejuk beku bernilai lebih RM374,000 dirampas dalam satu operasi inter-agensi yang dijalankan di Jalan Pinagsu, di sini, semalam.
Operasi itu melibatkan pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Kudat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kudat.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga unit kemudahan penyimpanan sejuk beku (cold storage) di lokasi tersebut yang menyimpan pelbagai kotak produk ayam dan daging beku dalam kuantiti yang banyak.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak KKM Daerah Kudat turut menemukan beberapa produk makanan yang telah tamat tempoh, antaranya sejak tahun 2022, 2023, 2025 serta Januari 2026.
Perbuatan itu dipercayai melanggar Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 selain kesalahan di bawah Peraturan 11, kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih serta selamat.
Kesemua produk yang terlibat telah dirampas untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM374,010.80.
Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin serta melindungi kesihatan pengguna.
