SAMASUDDIN
KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menghina al-Quran yang tular di media sosial baru-baru ini dan menyifatkan tindakan itu sebagai melampau serta tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Haji Samasuddin Yusop berkata, perbuatan memijak dan mencemarkan kitab suci umat Islam itu bukan sahaja biadab, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum di negeri ini.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku di Sabah yang selama ini terkenal dengan keharmonian serta perpaduan masyarakat majmuk.
“UMNO Sabah memandang serius perkara ini dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang didakwa menghina al-Quran seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Tindakan memijak serta mencemarkan kitab suci umat Islam adalah satu perbuatan yang amat melampau dan boleh mencetuskan ketegangan antara masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Samasuddin berkata, UMNO Sabah turut menyokong kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang menegaskan perkara itu tidak boleh dikompromi dan perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjalankan siasatan segera terhadap insiden berkenaan.
“Kami berharap tindakan tegas dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan adil.
“Sebagai negeri yang terkenal dengan keharmonian masyarakat majmuk, Sabah tidak boleh membenarkan mana-mana pihak melakukan provokasi yang boleh mengguris sensitiviti agama serta mengganggu keamanan rakyat,” katanya.
Menurutnya, UMNO Sabah akan terus berdiri teguh dalam mempertahankan kemuliaan Islam dan kesucian al-Quran di samping memastikan keharmonian antara agama di negeri ini terus dipelihara.
