JHEAINS bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan kerja-kerja pembaikan serta pemasangan kanvas di kawasan runtuhan bagi mengurangkan aliran air dan mencegah kejadian susulan.
SANDAKAN: Penduduk di daerah ini tidak lagi dibenarkan menjalankan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Sim-Sim selepas kejadian runtuhan tanah yang merosakkan kira-kira 20 kubur di kawasan berkenaan awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Ag Tahir berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain keadaan kawasan perkuburan berkenaan yang sudah terlalu padat.
Menurutnya, Tanah Perkuburan Islam Batu 11 dikenal pasti sebagai lokasi alternatif yang sesuai untuk dijadikan kawasan pengebumian baharu bagi menggantikan Tanah Perkuburan Sim-Sim.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian runtuhan itu berpunca daripada kepadatan kawasan perkuburan akibat aktiviti penggalian kubur di bahagian bawah cerun yang dilakukan berulang kali sehingga menjejaskan struktur tanah.
“Keadaan itu menyebabkan tanah menjadi lemah sebelum runtuhan berlaku, lebih-lebih lagi selepas hujan lebat berterusan sejak semalam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi menjalankan pengebumian di kawasan tanah runtuh berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Dalam pada itu, Awang Juri berkata, kerja-kerja pembaikan sementara sedang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan termasuk pemasangan kanvas bagi mengurangkan aliran air hujan dan mengelakkan kejadian runtuhan susulan.
Menurutnya, jenazah yang terjejas akibat runtuhan akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain dengan persetujuan waris.
“Sekiranya waris bersetuju, jenazah akan dipindahkan dan dikebumikan semula di lokasi lain. Namun bagi waris yang mahu jenazah kekal di tempat asal, pihak kami akan mengebumikannya semula di kawasan sama,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Sim-Sim di sini dilaporkan rosak selepas cerun di kawasan berkenaan runtuh dalam kejadian awal pagi semalam.
