KOTA KINABALU: Pelajar serta pengunjung kini berpeluang mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai proses penghasilan minyak sawit menerusi program lawatan pendidikan yang dikendalikan oleh SKG Green Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada penawaran pelancongannya.
Dikenali sebagai Sustainable Palm Oil Educational Tour, program ini mula diperkenalkan di Sandakan pada 2024 sebelum diperluaskan bagi menyokong inisiatif eko-pelancongan dan pembelajaran SKG Green yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata, program itu memberi peluang kepada peserta untuk melawat ladang, kilang dan tapak semaian terpilih milik Sawit Kinabalu bagi memahami keseluruhan kitaran pengeluaran minyak sawit, bermula daripada peringkat anak benih, pengurusan ladang hingga pemprosesan buah tandan segar.
Menurutnya, syarikat itu baru-baru ini menerima kunjungan seramai 29 peserta dari Kolej Vokasional Beaufort bagi menyertai lawatan pendidikan pertama di bawah pengurusan SKG Green yang diadakan di Kilang dan Ladang Kelapa Sawit Lumadan di pantai barat Sabah.
Katanya, sepanjang lawatan tersebut, pelajar dibimbing secara terperinci oleh pegawai Sawit Kinabalu mengenai proses pemprosesan minyak sawit, bermula daripada ketibaan buah tandan segar di kilang sehingga penghasilan minyak sawit mentah.
“Sebahagian pelajar turut berpeluang mencuba sendiri mengangkat buah tandan segar ke dalam traktor, satu tugasan yang ternyata lebih mencabar daripada jangkaan.
“Walaupun kelihatan mudah, berat tandan tersebut memberi gambaran sebenar mengenai cabaran fizikal yang dihadapi pekerja ladang setiap hari,” katanya.
Mojilis berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap industri berkenaan khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Program ini membolehkan pelajar dan pengunjung mengalami sendiri bagaimana industri minyak sawit berfungsi, daripada operasi tapak semaian dan ladang sehingga ke proses di kilang.
“Ia juga sebahagian usaha kami untuk mempromosikan amalan lestari di samping menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan berasaskan pengalaman,” katanya.
Di peringkat tapak semaian, peserta turut diperkenalkan dengan proses pemilihan dan penanaman anak pokok kelapa sawit, sekali gus menekankan kepentingan penggunaan bahan tanaman berkualiti di semua ladang Sawit Kinabalu.
Lawatan pendidikan ini dijalankan di beberapa operasi terpilih Sawit Kinabalu di pantai timur dan barat Sabah termasuk di Lahad Datu dan Beaufort.
Program berkenaan turut melengkapi penawaran eko-pelancongan sedia ada SKG Green di Sungai Pin Conservation Area, sekali gus memberikan perspektif lebih luas mengenai landskap semula jadi dan pertanian di Sabah.
Dalam lawatan sulung di bawah pengurusan SKG Green itu, satu pasukan diketuai Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran, Deveneau Daniel Jambun turut hadir bagi menilai pelaksanaan program serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Seiring dengan peningkatan minat daripada sekolah dan institusi, SKG Green menyasarkan program lawatan pendidikan ini sebagai platform utama bagi pembelajaran, kesedaran dan penglibatan masyarakat terhadap salah satu industri utama negara.
Program lawatan ini terbuka kepada sekolah, universiti serta kumpulan terancang, dengan urusan penyertaan boleh dibuat melalui SKG Green Sdn Bhd.
