TAWAU: Kerajaan Sabah menghargai langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang dilihat terus membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata subsidi itu amat penting memandangkan majoriti penduduk Sabah bergantung kepada penggunaan diesel dalam kehidupan harian.
Menurutnya, usaha kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekang kesan kenaikan harga minyak global daripada terus menekan kos sara hidup rakyat.
“Walaupun harga minyak dunia meningkat, kerajaan masih mengekalkan subsidi kepada golongan yang memerlukan.
“Langkah ini sangat membantu, khususnya rakyat di Sabah yang banyak bergantung kepada diesel,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Festival Ramadan Raya Sabah 2026, di sini, semalam.
Beliau berkata, faktor geografi Sabah menyebabkan penggunaan diesel menjadi keperluan utama, terutama bagi penduduk luar bandar untuk pergerakan harian dan aktiviti ekonomi.
“Diesel adalah nadi kehidupan di Sabah. Ramai bergantung kepadanya untuk bekerja dan menjalankan aktiviti harian.
“Justeru, usaha kerajaan memastikan bekalan dan subsidi diesel kekal amat dihargai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya menggunakan bahan api secara berhemah bagi memastikan manfaat subsidi dapat dinikmati secara berterusan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan dan rakyat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
