KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menafikan dakwaan kejayaan francais drama kepolisan Gerak Khas yang terus bertahan sehingga kini disebabkan faktor ‘kabel’ atau hubungan istimewa dengan stesen televisyen.
Sebaliknya, pemilik Skop Productions itu menegaskan kesinambungan siri yang mula diperkenalkan pada 1999 itu berlaku atas kepercayaan penyiar, sokongan penonton serta pencapaian yang diraih sepanjang lebih dua dekad bersiaran.
Malah, Gerak Khas 2.0 yang diterbitkan bersama Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions di bawah sentuhannya kini membuka lembaran baharu apabila buat julung kali disiarkan TVS dengan skala produksi lebih besar serta naratif yang dekat dengan realiti Malaysia masa kini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak TVS atas kepercayaan diberikan, tetapi bukan sebab kabel.
“Kadang-kadang ada kawan-kawan cakap, bagus ya drama bersambung lagi sebab kabel. Kabel apa? Awak ingat TVS itu bapa saya punya?
“Macam dulu juga ketika ditayangkan di RTM, ada yang cakap tak habis-habis Gerak Khas dan kaitkan dengan kabel.
“Lillahi taala, memang tak ada kabel. Ramai juga produser jumpa saya dan cakap soal kabel. Ada juga yang minta saya hentikan Gerak Khas sebab kononnya banyak aduan, tetapi saya tak mahu sebut siapa,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan drama bersiri Gerak Khas 2.0 di TGV KLCC, di sini, petang tadi.
Yusof berkata, seorang pegawai kanan RTM pernah memaklumkan kepadanya bahawa Gerak Khas dianggap sebagai ‘anchor program’ kerana mencatat kadar tontonan tinggi.
“Disebabkan itu drama ini terus berjalan. Menteri dan Ketua Polis Negara pun sudah bertukar ganti, tetapi saya masih belum pencen lagi,” katanya.
Yusof berkata, dia akan terus menghasilkan Gerak Khas selagi dikurniakan kesihatan dan tenaga.
“Tuhan bagi saya kudrat dan tenaga, saya akan terus berjuang.
“Anak-anak saya pun sokong. Syafiq pun sokong, tetapi bila saya suruh dia buat Gerak Khas, dia kata tak boleh sebab mahu fokus kepada filem,” katanya.
Selepas lebih dua dekad mencipta sejarah dalam landskap drama tempatan dan lima tahun meninggalkan ruang penyiaran, Gerak Khas kini kembali dengan pendekatan lebih kontemporari tanpa mengorbankan identiti yang menjadikannya sebuah karya malar segar.
Sepanjang siaran, Gerak Khas sudah mencatat 20 musim dengan 1,054 episod, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara drama televisyen paling berpengaruh dalam sejarah negara.
Pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai drama waktu perdana paling lama bersiaran di Malaysia turut membuktikan pengaruh dan legasi siri itu yang terus kekal merentasi generasi.
Gerak Khas 2.0 menghimpunkan semula ramai wajah ikonik yang membentuk identiti francais itu selama lebih dua dekad, antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk Hans Isaac, Erra Fazira, C Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir.
Pada masa sama, siri itu turut memperkenalkan barisan pelakon generasi baharu seperti Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai. – Berita Harian
