TAWAU, 1 Ogos 2026 – Penglibatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Tawau dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Ke-11 disifatkan sebagai satu inisiatif berkesan untuk memperkukuh kesedaran awam terhadap ancaman penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program yang menggabungkan aktiviti rekreasi dan kemasyarakatan mampu mendekatkan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat dalam suasana yang lebih santai dan inklusif.
Menurut beliau, usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi keluarga serta seluruh komuniti.
“Saya merakamkan penghargaan kepada PEMADAM yang terus memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai tanggungjawab bersama untuk memerangi gejala dadah.
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menyemai kesedaran bahawa semua pihak perlu berganding bahu memastikan anak-anak muda dan institusi keluarga bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Memancing sempena FKAT Ke-11 yang dianjurkan oleh PEMADAM Daerah Tawau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata kedudukan strategik Tawau yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia menjadikan daerah itu berdepan cabaran tersendiri, termasuk pengaruh negatif yang boleh menular merentasi sempadan.
Katanya, keadaan itu memerlukan perhatian berterusan supaya unsur-unsur yang boleh merosakkan masa depan masyarakat, khususnya golongan muda, dapat dibendung lebih awal.
“Tawau antara kawasan yang dikenal pasti mempunyai beberapa lokasi panas berkaitan penyalahgunaan syabu dan dadah.
“Kita berada berhampiran sempadan Filipina dan Indonesia. Sudah tentu terdapat pelbagai pengaruh dari luar yang boleh mempengaruhi corak kehidupan masyarakat. Jika pengaruh itu positif, ia sesuatu yang baik, namun kita perlu berwaspada terhadap unsur negatif yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak dan masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur FKAT Ke-11, khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT), atas komitmen memastikan festival itu berlangsung dengan lancar dan tersusun.
Menurutnya, FKAT kini bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan penduduk Tawau, malah mempunyai potensi besar untuk menarik kehadiran pelancong dan pengunjung dari luar daerah serta negeri.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti yang disusun termasuk pertandingan memancing, dron dan layang-layang bukan sahaja memeriahkan festival, malah menjadi medium memperkenalkan keunikan kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi identiti Tawau.
“Pada masa akan datang, kita berharap pengisian program ini dapat diperkasakan lagi supaya lebih banyak penyertaan dapat disertai bukan sahaja oleh masyarakat Tawau, malah pengunjung dari Kota Kinabalu, Semenanjung serta negara luar.
“Usaha ini penting bagi mempromosikan Tawau sebagai sebuah destinasi yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
