KOTA KINABALU: Penganalisis politik bebas, Atan Leecas menyifatkan dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggunakan pesawat rasmi kerajaan negeri bagi tujuan peribadi ketika menunaikan umrah sebagai satu naratif politik yang mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, pihak tertentu sengaja memuat naik gambar pesawat rasmi kerajaan negeri bagi membina persepsi negatif terhadap Hajiji tanpa menjelaskan keseluruhan kronologi perjalanan.
“Sengaja dipaparkan gambar pesawat kerajaan seolah-olah Ketua Menteri menggunakan pesawat itu untuk pergi menunaikan umrah secara peribadi. Tajuk dan persoalan yang dibangkitkan hanya bertujuan menimbulkan keraguan serta memancing emosi rakyat supaya membenci Ketua Menteri dan rombongannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut mendakwa kenyataan itu ditujukan kepada pengendali laman media sosial Mawar Channel yang didakwanya mempunyai kaitan dengan parti pembangkang Warisan.
Mengulas lanjut, Atan berkata fakta sebenar menunjukkan Hajiji berangkat menunaikan umrah menggunakan pesawat komersial dan kembali ke Malaysia dengan pesawat komersial sebelum singgah di Kuala Lumpur.
Katanya, hanya selepas kembali menjalankan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Sabah, Hajiji menggunakan pesawat rasmi kerajaan negeri untuk pulang ke Sabah.
“Ketua Menteri mempunyai kemudahan rasmi yang diperuntukkan mengikut jawatan dan tugasnya. Jangan sengaja mencampuradukkan perjalanan peribadi dengan penggunaan kemudahan rasmi selepas beliau kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata tindakan hanya memaparkan gambar pesawat rasmi tanpa menjelaskan keseluruhan kronologi merupakan cubaan membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin kerajaan negeri.
Menurutnya, sekiranya terdapat bukti salah guna aset kerajaan, perkara itu sepatutnya disalurkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat, bukannya membuat tuduhan berdasarkan gambar semata-mata.
“Rakyat Sabah hari ini sudah matang. Mereka mahukan fakta dan kebenaran, bukannya persepsi serta fitnah yang dibentuk untuk kepentingan politik,” katanya.
Atan turut menyeru semua pihak agar mengamalkan politik yang lebih beretika dan tidak menjadikan dakwaan tanpa bukti sebagai alat untuk menyerang karakter mana-mana individu.
